Saturday, January 24, 2009

CADANGAN LAPORAN PROJEK

Tajuk kajian ini ialah, ' Hubungan Gaya Pembelajaran dan Kemahiran Belajar dengan Pencapaian Bahasa Malaysia Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Empat'.
Bahan bacaan ini merupakan sebahagian daripada cadangan laporan projek bagi memenuhi syarat sarjana. Saya mengalu-alukan pandangan dan cadangan para pembaca blog ini bagi memantapkan lagi laporan projek ini. Tuan dan puan juga dijemput untuk menjawab tiga ( 3 ) soalan yang berkaitan dengan kajian ini.
Abd Rahman bin Hj Ismail.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
BAB 1

PENGENALAN KAJIAN

1. Pengenalan
Gaya pembelajaran antara pelajar adalah berbeza-beza dan mengikut kecenderungan masing-masing. Ada yang suka belajar bersendirian kerana mampu memperolehi pengetahuan dengan gaya berkenaan sedangkan sekumpulan yang lain lebih berminat belajar dalam kumpulan. Selain itu, terdapat pelajar yang memerlukan bimbingan guru. Pelajar sebenarnya mementingkan hasil daripada pembelajaran yang telah dilalui oleh mereka. Akhirnya, mereka berharap dapat menggunakan pengetahuan itu untuk berjaya dalam sesuatu peperiksaan seperti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Penilaian Menengah Rendah. Berdasarkan beberapa dapatan kajian luar negara, para pelajar yang memahami gaya pembelajaran masing-masing dikatakan lebih berjaya mencapai matlamat pembelajaran.
1.2 Gaya Pembelajaran dan Kemahiran Belajar
Claxton dan Ralston ( 1978:12 ) dalam Evelyn C. Davis, Hafsah Nur dan Sophia A. A. Ruru ( 1994 ) menjelaskan, setiap orang mempunyai gaya pembelajaran masing-masing yang melibatkan gaya visual, audio dan kinestetik. Gaya belajar ini dinamakan gaya pembelajaran individu. Sesetengah pengkaji percaya apabila seseorang individu mengetahui cara belajar yang sesuai dengan dirinya, maka hasil pembelajarannya lebih berdaya tahan dan berjaya.
Mengikut Dunn ( 1989 ), gaya pembelajaran berkaitan cara memproses serta mengekalkan maklumat baru yang mempunyai hubungan dengan ciri-ciri biologi dan perkembangan sahsiah seseorang dan ia dipengaruhi oleh persekitaran, emosi, pengaruh sosial serta perasaan individu. Oleh itu, keberkesanan sesuatu pengajaran itu perlu diubahsuai mengikut gaya pembelajaran para pelajar.
Menurut Santhi Suppiah ( 1998 ), perbezaan individu merupakan variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan, sama ada sifat-sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkahlaku, sosial, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat dalam kalangan individu dalam sesebuah kumpulan.
Kristen Jackson dan Tracia ( 2003 ) pula berpendapat, teknologi adalah mengikut arus zaman maka gaya mengajar dan gaya pembelajaran perlu berubah dan disesuaikan kerana cara seseorang belajar adalah berbeza-beza.
Skinner. Randal.D ( 2007 ) memberitahu, gaya pembelajaran berubah dari generasi ke generasi secara cepat dan memerlukan pendekatan baru dan perencanaan yang aktif dan hebat.( Barnes, Preriosi & Gooden, 2004 ).
Menurut Baharin Abu ( 2007 ), pelajar mempunyai tahap motivasi yang berbeza iaitu berbeza sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran, memberi respon yang berbeza kepada persekitaran bilik darjah dan amalan pengajaran. Ini bermakna pembelajaran boleh berlaku melalui pelbagai pendekatan kerana cara pengamatan dan pemerosesan maklumat yang berlaku dalam manusia adalah berbeza-beza, tidak terkecuali gaya pembelajaran pelajar.
Abdul Hamid Mahmood ( 2007 ), menyatakan gaya pembelajaran minor menunjukkan pelajar masih dapat belajar dengan baik melalui gaya pembelajaran tersebut, manakala gaya pembelajaran yang tidak penting bererti pelajar menghadapi kesulitan belajar melalui gaya tersebut dan harus memberikan tumpuan pada gaya yang lebih membantu pelajar dalam pembelajaran.Sehubungan dengan gaya pembelajaran yang berbeza-beza dalam kalangan pelajar maka mereka perlu mengetahui, menguasai dan mengamal kemahiran belajar. Cara belajar tradisional sudah tidak relevan lagi dengan tuntutan dunia tanpa sempadan. Konsep belajar era millinium memberi tumpuan kepada pelajar dan pembelajaran, sementara peranan guru hanya sebagai pemudahcara pembelajaran.
Ab. Rahim Selamat ( 1989 ) menyatakan di England, ramai pelajar mengatakan mereka gagal sebagai pelajar. Mereka hanya ada daya ingatan tetapi tidak pandai belajar. Mereka yang gagal mengatakan mereka kurang kemahiran belajar dan gagal dalam peperiksaan. Pendidikan di Amerika Syarikat pula mementing kemahiran belajar. Pelajar diajar kemahiran seperti membaca cepat, pengucapan awam dan sebagainya.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2001 ), menegaskan kemahiran belajar perlu dikuasai oleh setiap pelajar untuk menambah ilmu pengetahuan serta meraih kecemerlangan dalam peperiksaan dan kehidupan.
Segal ( 1985 ), pula berpendapat kemahiran belajar boleh diajar. Cara pelajar bijak belajar boleh dipindahkan kepada pelajar yang rendah kemampuan.
Gall et all. ( 1990 ), mengatakan kemahiran belajar disertai dengan motivasi belajar yang tinggi telah terbukti boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan.Beberapa kajian lain pula telah menunjukkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar telah membantu pelajar meningkatkan prestasi mereka dalam peperiksaan.
Mengikut Francisco Cano-Garcia ( 2000 ), gaya pembelajaran dan kemahiran berfikir mempunyai hubungan yang kukuh untuk meningkatkan pencapaian pelajar kolej dalam peperiksaan.Di Malaysia, sistem pendidikan masih dihantui oleh sistem peperiksaan dan pengajaran berpusatkan guru. Dengan demikian pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran bahasa Malaysia diukur melalui pelbagai bentuk pengujian dan penilaian.
Menurut Omar Hisham ( 2007 ), peperiksaan telah dijadikan terminal bagi mengasingkan tahap pencapaian pelajar. Prestasi ini pula dikaitkan dengan gaya pembelajaran seseorang pelajar yang berbeza-beza. Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) menyediakan dua buah kertas iaitu Kertas 1 dan Kertas 2 sebagai elemen pengukuran pencapaian bahasa Malaysia. Kertas 1 mengandungi 40 soalan objektif dengan matriks seperti sistem bahasa, peribahasa (30 buah item soalan ) dan 2 buah petikan yang diikuti oleh 10 buah item soalan pemahaman. Kertas 2 pula mengandungi empat bahagian A,B,C dan D. Bahagian A, calon diminta membuat ringkasan dan menjawab soalan pemahaman berdasarkan sebuah petikan yang diberi; Bahagian B, calon akan mengarang sebuah karangan berdasarkan rangsangan bergambar; Bahagian C, calon diminta mengarang sebuah karangan bebas dan bahagian D, calon perlu membincangkan satu kajian sebuah novel yang telah dikaji.
Kesimpulannya, di negara-negara maju, gaya pembelajaran dan kemahiran belajar didapati mempunyai pengaruh yang kuat bagi meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Pelajar-pelajar di Amerika Syarikat, didedahkan kepada gaya pembelajaran dan kemahiran belajar secara formal di sekolah-sekolah hingga ke peringkat kolej dan universiti. Matlamat pengajaran dan pembelajaran di sana ialah pembelajaran sepanjang hayat berbanding di negara kita yang masih dibelenggu, ” exam-oriented ”. Perbezaan antara pelajar yang wujud, adalah satu lumrah bagi manusia dan berkait rapat dengan faktor-faktor seperti emosi dan persekitaran. Di Amerika Syarikat, setiap aspek seperti persekitaran, emosi, dll. diambilkira dalam persediaan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar yang sudahpun mengetahui gaya pembelajaran dan tahap kemahiran belajar masing-masing akan lebih mudah belajar dan memperoleh keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan.
1.3 Model Kajian
Kajian ini akan menggunakan model gaya pembelajaran Dunn dan Dunn ( 1978 ), dan gaya pembelajaran VAK. Kedua-dua model ini dicadangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum ( PPK ) dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Menurut model Dunn dan Dunn, gaya pembelajaran ialah kaedah seseorang pelajar menumpu, memproses, menyerap dan mengingat maklumat atau kemahiran yang baru dan sukar. Model ini menekankan prinsip-prinsip berikut:
a) kebanyakan individu mampu dan boleh belajar,
b) setiap individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu,
c) gaya pembelajaran individu akan bertindak balas dengan iklim, sumber dan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran,
d) iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dapat disesuaikan
dengan gaya pembelajaran seseorang itu akan dapat mengoptimumkan proses
pembelajaran.
Dunn dan Dunn ( 1978 ) menyatakan, individu pelajar dapat mempertingkatkan prestasi mereka sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran dapat disesuaikan dengan mengikut gaya pembelajaran mereka ( Baharin Abu, 2007 ). Model ini mengkategorikan gaya pembelajaran kepada stimulus persekitaran, emosional, sosiologikal, fizikal dan psikologikal dan telah diaplikasi dalam banyak kajian berhubung gaya pembelajaran pelajar. Kelima-lima kategori ini mempengaruhi keupayaan seseorang pelajar terhadap persekitaran pembelajarannya.
Kategori-kategori Model Dunn dan Dunn (1978 ) ditunjukkan dalam Rajah 1 di bawah.
Rajah 1: Model Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn (1978)
STIMULUS UNSUR-UNSUR STIMULUS

PERSEKITARAN > BUNYI, CAHAYA, SUHU DAN REKA BENTUK
EMOSIONAL > MOTIVASI,KECEKALAN,TANGGUNGJAWAB, STRUKTUR
SOSIOLOGIKAL > RAKANSEBAYA,KENDIRI,BERKUMPULAN,DEWASA,PELBAGAI FIZIKAL > PERSEPSI INDERA, MAKAN –MINUM, MASA, MOBILITI PSIKOLOGIKAL > ANALITIK, GLOBAL, OTAK KIRI/KANAN, REFLEKSI DIRI, DESAKAN
Sumber Dunn dan Dunn 1978 ( Nota. Model dalam Rajah 1 tidak mengikut rajah yang sebenar)
Pengkaji menggunakan gaya pembelajaran Dunn dan Dunn untuk melihat pengaruh seperti persekitaran, emosi, sosiologi, fizikal dan psikologi terhadap pembelajaran pelajar. Gaya pembelajaran VAK pula mengandungi tiga aspek iaitu gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran auditori dan gaya pembelajaran kinestetik yang berguna untuk mengenalpasti kumpulan pelajar visual, audio dan kinestetik.
i) Gaya Pembelajaran Visual
Pelajar belajar dengan lebih baik dengan melihat sesuatu teks berbentuk perkataandalam buku, di papan hitam atau paparan komputer. Mereka lebih mengingati danmemahami arahan serta penerangan menerusi pembacaan ayat atau teks berkenaan. Pelajar ’visual’ tidak memerlukan penerangan lisan tetapi dapat belajar melalui pembacaan.Pelajar’ visual’ selalunya menulis nota syarahan dan arahan lisan jika mereka hendak mengingati sesuatu.
ii) Gaya Pembelajaran Auditori
Pelajar ’auditori’ belajar dengan mendengar perkataan yang disebut dan jugaarahan lisan. Mereka boleh mengingati penerangan melalui bacaan kuat atau menggerakkan bibir ketika membaca terutama apabila mempelajari sesuatu yang baharu. Mereka juga dapat mengukuhkan ingatan dengan mendengar semula rakaman pita audio, mengajar murid lain dan berbincang dengan guru.
iii) Gaya Pembelajaran Kinestetik
Pelajar ’kinestetik’ belajar dengan baik melalui pengalaman dan mengambil bahagian secara fizikal dalam aktiviti bilik darjah. Mereka dapat mengingati sesuatu dengan baik apabila mencuba terus aktiviti melalui hands-on.( Sumber: Pusat Perkembangan Kurikulum ,2001 )
Kemahiran belajar pula merangkumi beberapa aspek seperti:
i) Kemahiran mendengar dengan berkesan
ii) Kemahiran membaca (luncuran,imbasan,intensif dan laju)
iii) Kemahiran mencatat nota
iv) Kemahiran menulis laporan dan menulis cepat
v) Kemahiran membuat rujukan
vi) Pengurusan masa
vii) Persediaan menghadapi peperiksaan.

Berdasarkan keterangan mengenai model Dunn dan Dunn, model VAK dan kemahiran belajar serta hubungannya dengan pencapaian Bahasa Melayu maka model konseptual pengkaji adalah seperti berikut.
Pembolehubah Faktor Hubungan
Gaya Pembelajaran Dunn & Dunn Jantina
dan Gaya VAK Sosioekonomi
Tempat tinggal Keputusan PMR 2008
Keluarga
Kemahiran Belajar Kategori Sekolah
Model Konsep:Hubungan Gaya Pembelajaran dan Kemahiran Belajar Dengan Pencapaian Bahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Empat (Nota. Model tidak mengikut lakaran sebenar)
1.4 Penyataan Masalah Kajian
Gaya pembelajaran dan kemahiran belajar merupakan sebahagian daripada beberapa kemahiran yang terdapat di dalam modul Belajar Cara Belajar cadangan Pusat Perkembangan Kurikulum ( PPK ). Kedua-dua aspek yang telah diajar secara formal di sekolah-sekolah sejak tahun 2001 lagi dan dikenali sebagai Kemahiran Bernilai Tambah ( KBT ). Bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, KBT dilaksanakan melalui proses penyerapan. Pengkaji bercadang untuk merenung dan menilai kembali KBT, setelah lapan tahun dilaksanakan di sekolah-sekolah. Di dapati kedua-dua kemahiran KBT berkenaan sudah mulai pudar pelaksanaannya di sekolah-sekolah lebih-lebih lagi di sekolah kebangsaan. Ada pihak yang beranggapan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar bukan faktor paling dominan kemerosotan pencapaian bahasa Melayu namun kemahiran belajar cara belajar amat diperlukan oleh pelajar dalam konteks pendidikan masa kini. Menurut Abdul Hamid Mamood ( 2007 ), kemahiran belajar merupakan kemahiran seumur hidup. Kemahiran ini perlu dikembangkan kepada semua murid supaya mereka peka dengan teknik-teknik pembelajaran yang berkesan. Dengan kemahiran ini juga, murid dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam proses belajar mereka dan seterusnya mereka boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki sesuatu kelemahan. Selain itu, kemahiran belajar perlu dikuasai oleh setiap murid untuk menambah ilmu pengetahuan serta meraih kecemerlangan dalam peperiksaan dan kehidupan. Kajian lepas yang berkaitan dengan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar menunjukkan kedua-dua kemahiran memberi impak yang positif terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Para pelajar sudah mulai condong mempelajari ilmu pengetahuan secara kendiri dan tidak terlalu bergantung kepada guru untuk mendapatkan maklumat. Mereka juga lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Dapatan kajian Ab. Rahim Selamat ( 1989 ), menyatakan:
i) Kebanyakan kemahiran belajar yang spesifik untuk sesuatu mata pelajaran dipelajari
sendiri oleh pelajar,
ii) Kemahiran belajar dipersetujui penting dari sudut peperiksaan dan pembelajaran.
iii) Kemahiran belajar yang am dan lengkap belum diajar atau dikuasai oleh pelajar secara
teratur.
Kedua, sekiranya pelajar terus mempraktikkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar di samping menguasai isi kandungan yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia, soal kemerosotan tidak akan timbul. Isu seperti seramai 49,966 calon Sijil Pelajaran Malaysia tidak lulus Bahasa Melayu pada tahun 2000 tidak perlu berulang kembali ( dalam Zaitul Azma, 2007 ). Kerisauan ini berbaloi kerana para pengurus pendidikan, pendidik, pelajar-pelajar dan masyarakat sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada bahasa Inggeris berikutan dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) mulai tahun 2003 yang lalu.
Ketiga, diuar-uarkan terdapat jurang yang ketara di antara pencapaian pelajar berlainan jantina yang menyebabkan ketidakseimbangan penuntut di universiti. Di samping itu, didapati pencapaian pelajar di sekolah-sekolah harian dengan pencapaian pelajar di Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ), Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM ) dll juga jauh berbeza. Berikutan itu, permintaan terhadap kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ) dan Sekolah Rancangan Khas ( SRK ) semakin ketara. Justeru itu terdapat cadangan kerajaan untuk menaiktaraf sekolah-sekolah harian menjadi ala SBP.
Oleh itu, kajian ini cuba meninjau dan menentukan sejauhmana gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang telah dipraktikkan di sekolah-sekolah mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian Bahasa Malaysia PMR. Sehubungan itu permasalahan-permasalahan utama berikut akan dikemukakan iaitu,
1. Apakah jenis gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan
Empat?
2. Adakah kemahiran belajar diamalkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Empat ?
3. Adakah gaya pembelajaran dan kemahiran belajar membantu pelajar-pelajar di
Tingkatan Empat meningkatkan pencapaian bahasa Malaysia mereka?
4. Kesesuaian gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dalam kalangan pelajar
berdasarkan berlainan jantina, berbeza sosio ekonomi, mengikut jenis tempat
tinggal, mengikut kategori sekolah, rakan sebaya dan keluarga serta
menghubungkan setiap matriks dengan pencapaian Bahasa Malaysia PMR.
5. Adakah gaya pembelajaran masih dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah dan
guru-guru secara formal dengan menyediakan suasana pembelajaran
yang sewajarnya.
1.5 Tujuan Kajian
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti gaya pembelajaran ( GP ) dan kemahiran belajar ( KB ) dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat. Seterusnya, kajian ini akan mengkaji hubungan antara GP dan KB dengan pencapaian mereka dalam Bahasa Malaysia Penilaian Menengah Rendah tahun 2008. Dalam hal ini, pengkaji turut mengenalpasti gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang diamalkan oleh pelajar berlainan jantina, berbeza status sosio ekonomi, mengikut jenis tempat tinggal, mengikut kategori sekolah, mengikut kumpulan rakan sebaya, dan faktor keluarga.
1.6 Kepentingan Kajian
Dapatan kajian ini, penyelidik berharap dapat:
i) Memberi faedah kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Malaysia di sekolah agar lebih bermakna.
ii) Memantap dan menyuburkan budaya gaya pembelajaran dan kemahiran belajar
supaya pelajar-pelajar dapat mengelola kualiti persekitaran pembelajaran masing-
masing.
iii) Mengenalpasti gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dalam kalangan pelajar
berlainan jantina supaya jurang perbezaan prestasi tidak terlalu ketara.
iv) Memberi maklumat dan panduan kepada guru di sekolah, pihak pentadbiran sekolah
dan Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) supaya mengambilkira pencapaian pelajar
dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
v) Guru Bahasa Malaysia akan menimbang semula gaya mengajar mereka agar sesuai
dengan gaya pembelajaran pelajar.
vi) Pihak kaunselor dan guru Bahasa Malaysia akan melaksanakan penambahbaikan dan
tindakikut kemahiran belajar dan gaya pembelajaran secara proaktif dan lebih
bermakna.
vii) Kewajaran cadangan pihak kerajaan menaiktaraf sekolah menengah harian setara
dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
1.7 Objektif Kajian
Berdasarkan kepentingan kajian di atas, objektif kajian ini ialah mengenalpasti gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat dengan menggunakan gaya pembelajaran model Dunn dan Dunn ( 1978 ), gaya pembelajaran VAK dan kemahiran belajar Modul PPK dan kemudiannya, mengaitkannya dengan pencapaian mata pelajaran Bahasa Malaysia pelajar-pelajar di Tingkatan Empat dengan menggunakan keputusan PMR 2008. Kajian ini juga akan melihat pelaksanaan amalan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar di sekolah-sekolah setelah beroperasi selama lapan tahun ( 2001-2009 ).
1.8 Soalan Kajian
1. Sejauhmanakah gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang diamalkan oleh pelajar-
pelajar Tingkatan Empat mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian
Bahasa Malaysia?
2. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar berlainan
jantina di Tingkatan Empat?
3. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar berbeza
sosioekonomi?
4. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar berlainan
tempat tinggal pelajar?
5. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar mengikut
kumpulan rakan sebaya ?
6. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar mengikut
faktor keluarga?
7. Sejauhmanakah terdapatnya hubungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dan
kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar mengikut
jenis sekolah?
8. Sejaumanakah amalan kemahiran belajar dipraktikkan di sekolah-sekolah oleh pelajar di
Tingkatan Empat?
9. Dengan menggunakan Model Dunn dan Dunn, pengkaji ingin melihat, sejauhmanakah
pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru menyediakan suasana belajar mengikut
persekitaran, emosi, sosiologikal, psikologikal dan fizikal murid?
1.9 Definisi Pemboleh Ubah Kajian
1.9.1 Gaya Pembelajaran
Keefe ( 1979 ), dalam Chandrama Acharya ( 2002 ), mendefinisikan gaya pembelajaran sebagai gabungan ciri-ciri beberapa faktor kognitif, efektif dan psikologi yang menjadi indikator-indikator bagaimana seseorang membuat persepsi dan berinteraksi serta memberi respon dengan alam sekitarnya.
Kolb ( 1984 ), mentafsir gaya pembelajaran sebagai cara bagaimana pelajar mengamati dan memproses sesuatu. Sebahagian daripada mereka memberi respon atau mempelajari sesuatu dengan cara menggunakan deria dan perasaan (sensing and feeling), manakala pelajar-pelajar yang lain belajar dengan cara berfikir.
Maulida, Dina ( 2008 ), gaya pembelajaran merupakan suatu kombinasi dari bagaimana ia menyerap, dan kemudian mengatur serta mengolah informasi. gaya pembelajaran bukan hanya berupa aspek ketika menghadapi informasi, melihat, mendengar, menulis dan berkata tetapi juga aspek pemprosesan informasi sekunsial, analitik, global atau otak kiri- otak kanan, aspek lain adalah ketika merespon sesuatu atas lingkungan belajar ( diserap secara abstrak dan konkrit ).
Grasha ( 1996) dalam Diaz, D. P., & Cartnal, R. B. (1999), mendefinisikan gaya pembelajaran sebagai keupayaan diri pelajar yang menggalakkan kebolehannya untuk memperolehi maklumat, dapat berinteraksi dengan rakan sebaya dan guru, dan mengambil bahagian dalam pengalaman belajar.
Jonathan Clenton ( 1999 ), mencadangkan definisi gaya pembelajaran sebagai cara bagaimana seseorang itu memberi respon dan terangsang secara konsisten dalam konteks pembelajaran.( Claxton dan Ralston ,1987). Ada juga para pengkaji yang mengaitkan definisi gaya pembelajaran ini dengan unsur kognitif gaya pemprosesan dan berfikir pelajar. gaya pembelajaran dikatakan sebagai satu corak intrinsik untuk memproses informasi yang mewakili kaedah tertentu bagi seseorang pelajar itu membuat persepsi, berfikir, mengingat kembali dan menyelesaikan masalah.
DeBello, T.C. ( 1990 ), menyimpulkan, gaya pembelajaran lebih tepat didefinisikan sebagai cara pelajar menerima, memproses dan menyimpan maklumat hasil daripada pengalaman belajar dan respon terhadap alam sekitar. Pelajar telahpun mengenalpasti cara pembelajaran yang sesuai dengan dirinya.Kesimpulannya, gaya pembelajaran ialah satu tindakan yang dilakukan oleh seseorang pelajar berdasarkan kecenderungannya semasa melalui pengalaman belajar. Pelajar akan membuat persepsi dan respon terhadap pembelajarannya menerusi gaya pembelajaran yang dipilih, paling sesuai dan diminatinya. Pelajar akan menggabungkan beberapa faktor seperti emosi, kognitif, efektif dan psikologi bagi menerima, memproses dan menyimpan maklumat dan akhirnya digunakan untuk menyelesaikan masalah.
1.10 Kemahiran Belajar
Smith ( 1976 ), mentakrifkan kemahiran belajar sebagai belajar cara belajar oleh seseorang untuk digunakan secara efektif dalam bermacam-macam situasi belajar.
Abdul Ghani Awang ( 1996) menyatakan, kemahiran belajar merupakan kaedah belajar, teknik belajar, strategi belajar dan motivasi belajar.( Cloete & Schoer, 1986 ). Selain itu, kemahiran belajar ditakrif sebagai satu sikap dan tabiat belajar atau orientasi belajar para pelajar. ( Brown dan Holtzman,1976 ).
PPK ( 2001 ) menyatakan, kemahiran belajar ialah kemahiran seperti mendengar dengan berkesan, membaca laju, menulis dan mencatat nota, mengingat, membuat rujukan, pengurusan masa dan persediaan menghadapi peperiksaan.
Menurut Abdul Razak Habib ( 2002 ) dalam Md. Noor Saper et al.( 2008 ), kemahiran belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang merangkumi motif dan strategi tertentu yang diamalkan oleh pelajar bagi memperolehi hasil pembelajaran tertentu.
Sabri Ahmad ( 2003:3), mendefinisikan kemahiran belajar sebagai prinsip, teori umum dan kaedah tertentu yang dapat melipatgandakan keberkesanan belajar. Kajian yang dilakukan di Kanada dan Amerika Syarikat mendapati bahawa antara faktor yang membantu pelajar berjaya dalam pelajarannya ialah kemahiran belajar.
Zainuri Lope Ahmad et all. ( 2005 ), pula mentakrifkan kemahiran belajar sebagai kemahiran belajar pelajar yang mempelajari pelbagai perkara dalam pelbagai gaya atau kaedah. Kejayaan akademik didorong oleh faktor emosi, biologikal, psikologikal dan budaya. ( Van Lier :1989, Hainer: 1990 ).

Dalam Kamus Wikipedia ( 2008 ), kemahiran belajar merupakan strategi dan kaedah pembelajaran yang dirancang, biasanya memfokuskan kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran belajar yang berkesanan membantu pelajar mendapat gred yang baik di sekolah, dan berguna kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat. Kemahiran belajar berguna bagi membantu mereka memilih karier pada masa depan.

Kesimpulannya, kemahiran belajar ialah tindakan memperoleh pengetahuan dan keyakinan pada kebolehan yang ada pada diri sendiri. Keyakinan ini berdasarkan pada kemahiran-kemahiran yang telah dirancang atau dipelajari terlebih dahulu kemahirannya. Setelah menguasai kemahiran- kemahiran, pelajar mempelbagaikan gaya belajar dan mempelajari pelbagai pengetahuan. Dalam proses menguasai pengetahuan melalui kemahiran belajar, pelajar akan terdedah kepada faktor emosi, biologikal, psikologikal dan budaya.
1.11 Pencapaian Bahasa Malaysia

Pencapaian Bahasa Malaysia adalah merujuk kepada keputusan mata pelajaran Bahasa Malaysia Penilaian Menengah Rendah tahun 2008.
1.12 Pelajar Tingkatan Empat

Pelajar Tingkatan Empat ialah kumpulan pelajar yang berumur di antara 15 hingga 16 tahun. Mereka telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun 2008 dan memasuki tingkatan empat pada tahun 2009.
1.13 Kesimpulan Bab
Gaya pembelajaran yang dipilih oleh pengkaji ialah model Dunn dan Dunn dan Model VAK. Model Dunn dan Dunn dipilh oleh pengkaji untuk melihat gaya pembelajaran pelajar dari aspek persekitaran, emosi, sosiologi, fizikal dan psikologi. Sungguhpun tidak banyak kajian yang mengaitkannya dengan Bahasa Malaysia, berdasarkan hasil kajian yang pernah dibuat oleh pengkaji luar negeri gaya pembelajaran didapati dipengaruhi oleh kelima-lima aspek yang terdapat dalam model Dunn dan Dunn itu. Model VAK digunakan untuk mengenalpasti pelajar-pelajar yang berada di dalam kumpulan visual, audio atau kinestetik. Sementara itu, kemahiran belajar digunakan untuk melihat strategi yang digunapakai oleh pelajar bagi memperolehi pengetahuan dan maklumat. Seterusnya, hubungan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia PMR akan dikaji. Pelajar di Tingkatan Empat dipilih kerana kumpulan ini amat sesuai dijadikan sampel kajian ini. Mereka telah diajar secara formal mengenai gaya pembelajaran dan kemahiran belajar di sekolah. Sekolah-sekolah menengah yang terpilih akan merangkumi pelbagai kategori sekolah seperti sekolah menengah harian dan sekolah berasrama penuh. Sehubungan itu juga, pengkaji mengambilkira lokasi dan gred sekolah untuk mendapatkan hubungan yang lebih jelas dan mantap dalam kajian ini

-------------------------------------------------------------------------------------------------
BAB 2

KAJIAN LITERATUR

2.1 Pengenalan
Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan mengenai gaya pembelajaran dan kemahiran belajar oleh pengkaji-pengkaji luar negara dan dalam kalangan pengkaji-pengkaji tempatan. Dalam kalangan pengkaji luar negara, hasil dapatan mereka didapati lebih mantap dan banyak tertumpu kepada gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dari sudut psikologi dan bidang kaunseling. Sungguhpun begitu, terdapat dalam kalangan penyelidik yang mengkolerasikannya dengan pencapaian di dalam mata pelajaran. Teori-teori seperti teori motivasi, teori pembelajaran, teori Maslow, dan lain-lain digunakan bagi mencapai objektif kajian. Dari situ lahirlah pula, tokoh-tokoh penyelidik seperti Witkin et al (1977), Ausubel et al (1968), Goldman & Warren (1972), Wittrock (1986), Pask (1976), Marton & Saljo (1976), Biggs (1978),. Svensson (1977) dll. Soalselidik belajar seperti Indikator Myer-Briggs, gaya pembelajaran Kolb, Dunn & Dunn dll. diketengahkan untuk dikaji oleh pengkaji yang lain. Untuk memastikan perbincangan mengenai gaya pembelajaran dan kemahiran belajar dilaksanakan secara tuntas, maka pengkaji akan membahagikan kajian literatur ini kepada kajian oleh pengkaji luar negara dan kajian oleh pengkaji tempatan.
2.2 Kajian Lepas Dalam Negara

Abdul Razak Habib dan Rashidi Azizan, ( 1997 ), menyatakan dalam dapatan kajian mereka, jelas menunjukkan hubungan yang positif antara gaya pembelajaran motivasi dengan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik. Mereka telah menggunakan seramai 539 pelajar tingkatan empat di 20 buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai responden kajian.
Zariah Adam dan Jainabee Md. Kassim, ( 2000 ), meninjau tentang gaya pembelajaran dalam kalangan guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia di Institut Bahasa. Responden kajian mereka seramai 213 orang , instrumen kajian yang digunakan ialah, “The Centre for Innovative Teaching Experience”(CITE)”. Hasil kajian menunjukkan pelajar perempuan lebih suka auditori ( audio ) berbanding pelajar lelaki.
Azizi Yahya et all. ( 2003 ), telah mengkaji hubungan di antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik di dua buah sekolah di Negeri Sembilan. Seramai 109 orang pelajar telah dipilih sebagai responden. Dengan menggunakan soal selidik Learning Styles Questionnaires Honey and Mumford (1992), yang mengandungi lapan puluh soalan, kajian ini mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara dua pembolehubah tersebut tetapi mendapati gaya pembelajaran pelajar yang dominan ialah Reflektor, Teoris, Pragmatis dan akhir sekali Aktivis. Hasil kajian ini juga mendapati, terdapat hubungan yang signifikan di antara perbezaan gaya pembelajaran dengan latar belakang keluarga dan terdapat hubungan yang signifikan di antara faktor rangsangan rakan sebaya, keluarga dan pengajaran guru dengan modalitas belajar pelajar.
Nafisah @ Kamariah Md Kamaruddin dan Nurhaiza Abd Wahab, ( 2005 ), telah menjalankan kajian mereka terhadap 126 orang pelajar jurusan elektrik di tiga buah sekolah teknik dan vokasional di Perak, Selangor dan Johor. Mereka mendapati pelajar Tingkatan Empat di ketiga-tiga buah sekolah itu mengamalkan gaya pembelajaran kategori reflektor. Mereka juga mendapati tiada hubungan di antara gaya pembelajaran dengan akademik kerana pengajaran yang berpusatkan guru masih diamalkan, selain faktor IQ pelajar. Ini bermakna gaya pembelajaran dan kemahiran belajar tidak dipraktikkan di ketiga-tiga buah sekolah teknik dan vokasional berkenaan.
Siti Nur Rahil Ab Rahman ( 2005 ), melihat gaya pembelajaran Pendidikan Islam dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat. Kaedah yang digunakan ialah kaedah tinjauan dengan menggunakan soal selidik. Sampel terdiri daripada 287 orang pelajar Tingkatan Empat di tiga buah sekolah bandar dan 3 buah sekolah luar bandar di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Alat kajian yang digunakan ialah Inventori Pembelajaran Di Sekolah oleh Selmes yang mengemukakan lima gaya pembelajaran iaitu gaya mendalam, gaya permukaan, gaya dorongan, gaya terancang dan gaya gigih usaha. hasil kajian mendapati gaya pembelajaran dan persepsi terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam di kalangan pelajar Tingkatan Empat berada di tahap tinggi. Selain itu, wujud hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran mendalam, permukaan dan terancang dengan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Tidak wujud hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dorongan dan gigih usaha dengan persepsi pelajar terhadap Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun tidak terdapat hubungan yang signifikan antara dua jenis gaya pembelajaran iaitu dorongan dan gigih usaha. Terdapat perbezaan yang signifikan antara gaya pembelajaran di kalangan pelajar Pendidikan Islam berdasarkan jantina dan pencapaian pelajar dalam Pendidikan Islam. Terdapat perbezaan yang signifikan antara persepsi pelajar terhadap Pendidikan Islam berdasarkan pencapaian pelajar dalam Pendidikan Islam.
Ramlah Jantan dan Md. Nasir Masran, ( 2006 ), mendapati wujudnya pengaruh gaya pengajaran guru dan gaya pembelajaran murid ke atas pencapaian Matematik murid di mana pengaruh gaya pengajaran guru adalah lebih besar berbanding pengaruh gaya pembelajaran murid. Kajian ini telah dijalankan di beberapa buah sekolah rendah di negeri Perak dan Selangor.
Rusnani Abdul Kadir dan Rosseni Din, ( 2006 ), dalam kajian mereka mendapati pelajar sekolah di Malaysia cenderung untuk mencerap secara reflektif iaitu memproses maklumat secara reflektif dan memahami keadaan baru melalui persepsi yang konkrit. Dengan menggunakan Kolb Learning Style Inventory ( 1986 ), kajian telah dijalankan di dua buah sekolah menengah di kawasan bandar di negara ini.
Ruzi Bachok et all. ( 2006 ), pula telah menjalankan kajian ke atas 301 pelajar yang sedang mengikuti mata pelajaran Bahasa Pengaturcaraan C bagi Kursus Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa pilihan tertingggi di kalangan responden adalah ciri visual berbanding verbal.
Baharin Abu et all. ( 2007 ), telah mengkaji kepelbagaian gaya pembelajaran dan kemahiran belajar pelajar universiti. Kajian ini melibatkan seramai 310 orang responden yang terdiri daripada 82 orang lelaki dan 228 orang perempuan pelajar tahun 2 hingga akhir program Ijazah Sarjana Muda dari pelbagai pengkhususan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Lima kategori gaya pembelajaran oleh Dunn dan Dunn iaitu kategori persekitaran, emosional, sosiologikal, fizikal dan psikologikal dan kemahiran belajar. Enam aspek kemahiran belajar adalah kemahiran membaca, kemahiran menguruskan masa, kemahiran menulis nota, kemahiran mendengar, kemahiran membuat rujukan dan kemahiran menghadapi peperiksaan. Hasil kajian ini menunjukkan dalam Model Dunn dan Dunn kategori emosional merupakan gaya yang paling dominan diamalkan oleh responden kajian diikuti kategori psikologikal, fizikal, persekitaran dan akhir sekali sosiologikal. Sementara itu, tahap keseluruhan kemahiran belajar pelajar adalah pada aras sederhana, misalnya kemahiran mengurus masa min 2.80 ( SP= 0.75 ). Kesimpulannya, kajian ini menegaskan kepelbagaian gaya pembelajaran dan kemahiran belajar menunjukkan kesan yang berbeza terhadap tabiat dan kesungguhan pembelajaran akademik.
2.3 Kajian Lepas Luar Negara

Elsa Price, ( 1992 ), dalam kajiannya mengenai pembelajaran dalam kumpulan mendapati seramai 46 orang pelajar yang dijadikan responden kajian cenderung untuk belajar dalam kumpulan walaupun dapatan kajian menunjukkan tiada hubungan gaya pembelajaran dengan pencapaian pelajar.

Terrance P. O’Brien et all. ( 1998 ), dalam kajian mereka ke atas 86 orang pelajar Kejuruteraan Elektric di Universiti Carolina Utara mendapati bahawa pelajar-pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran intuitif mendapat pencapaian yang lebih tinggi dalam pembelajaran berbanding pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran pengamatan. Dalam kajian ini mereka telah menggunakan indikator Myers-Briggs.
Diaz, D. P., & Cartnal, R. B. (1999), telah membuat perbandingan kemahiran belajar dua kelas perubatan iaitu kelas perubatan secara talian terus ( N=68 ) dan kelas perubatan di kampus ( N =40 ). Mereka menggunakan Grasha- Riechmann Student Learning Style Scales (GRSLSS) untuk mengkaji kemahiran belajar pelajar dan mendapati pelajar kelas perubatan talian terus lebih mengamalkan pembelajaran kendiri berbanding pelajar kelas perubatan di kampus.

Belinda Ho, ( 1999 ), telah membuat kajian mengenai gaya pembelajaran pembelajaran Bahasa Inggeris ke atas 237 orang pelajar di sebuah universiti di Hong Kong. Hasil kajian itu mendapati kebanyakan pelajar mengamalkan gaya pembelajaran secara komunikatif (verbal ).

Lixin Xiao ( 2000 ) mendalami kajiannya berhubung perbezaan budaya pengajaran dan pembelajaran di antara guru-guru berbangsa Irish dan pelajar dari Negeri Cina. Perbezaan budaya ini telah menimbulkan masalah dalam pembelajaran . Kajian ini telah dijalankan di dua buah institut di Dublin, Ireland dan mencadangkan pelajar-pelajar dari Negeri Cina perlu mempunyai gaya pembelajaran yang disesuaikan dengan budaya/ gaya pembelajaran Irish.

Michael A. Clump dan Katieann Skogsberg, ( 2003 ), telah menjalankan kajian mengenai gaya pembelajaran dan kemahiran belajar antara pelajar di universiti yang sama tetapi berlainan lokasi. Sebahagian koresponden kajian terdiri daripada pelajar yang tinggal di sebelah barat-tengah dan bakinya di sebelah barat. Dengan menggunakan Inventory of Learning Process ( ILP ) oleh Schmeck, Ribich and Ramanaiah's (1977), mereka dapati pencapaian pelajar yang tinggal di bahagian Barat-Tengah lebih tinggi pencapaian mereka berbanding rakan mereka di sebelah Barat. Mereka juga menyarankan kajian gaya pembelajaran dan kemahiran belajar antara jantina perlu diperluaskan berikutan wujudnya hubungan yang signifikan antara pencapaian pelajar lelaki dan perempuan dalam kajian itu.

Paul Gokin, ( 2004 ), telah menjalankan kajian mengenai gaya pembelajaran individu dalam program tutorial Microsoft, “Age of Empires II: The Age of Kings”, (AoEII) yang mendapat sambutan hangat pada tahun 1999 di Amerika Syarikat, dan mendapati kepuasan pengguna mempelajari bahan program disebabkan oleh gaya pembelajaran. Program itu telah direkabentuk untuk memenuhi kumpulan visual, audio dan kinestetik.
Kajian Doreen M. Lopez dan Linda Schroeder, ( 2008 ), mendapati pelajar-pelajar yang belajar dalam kumpulan, mendengar arahan dengan baik dan melaksanakan tugasan mengikut arahan, mempunyai pencapaian yang baik dalam pelajaran. Dalam kajian ini, mereka telah memilih dua buah sekolah di Illinois, yang berlainan lokasi, berbeza ras dan sosioekonomi. Sekolah A merupakan sekolah luar bandar, pelajarnya terdiri daripada masyarakat majmuk, banyak berlaku kes jenayah dan mempunyai purata pendapatan yang rendah bagi setiap keluarga. Sekolah B terletak di kawasan bandar, para pelajarnya terdiri daripada anak-anak golongan orang berada seperti jurutera, peguam,dll. Iklim/persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah didapati positif apabila pelajar telah mengetahui gaya pembelajaran dan kemahiran belajar masing-masing. Pelajar-pelajar didapati berkebolehan untuk menggunakan kedua-dua kemahiran dalam situasi yang lain. Mereka mempunyai keyakinan diri, seolah diberi satu kuasa/kepercayaan untuk mendapatkan maklumat dan bersikap intrinsik. Dapatan kajian ini, menunjukkan kedua-dua kemahiran berupaya mengubah keadaan di sekolah B berbanding situasi sebelumnya.
Gebe Keri ( 2002 ), menyatakan dalam kajiannya yang menggunakan Canfield's Learning Style Inventory (1988) mendapati, pelajar perempuan suka belajar dalam kumpulan sementara pelajar lelaki lebih suka belajar sendiri.
Handy Susanto ( 2006 ) mendapati, siswa lebih konsentrasi dalam pembelajaran apabila mereka mengamalkan gaya pembelajaran sama ada visual, audio dan kinestetik. Memang setiap individu akan mengamalkan hanya satu gaya pembelajaran tetapi dua yang lain tetap ada di dalam diri pelajar. Semakin banyak gaya pembelajaran yang pelajar libatkan maka belajar akan semakin ’hidup’, bererti dan bisa melekat. Kajian ini telah dijalankan di beberapa buah universiti di Indonesia.

2.4 Kesimpulan Bab

Kesimpulannya, kajian lepas yang telah dijalankan menunjukkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang dipelajari oleh pelajar-pelajar didapati mendatangkan banyak kebaikan kepada diri pelajar. Saranan-saranan yang terdapat dalam kajian lepas didapati banyak membantu meningkatkan pencapaian diri individu. Kajian lepas juga telah menunjukkan kejayaan pelajar dalam pelajaran dibantu oleh pihak pengurusan dan pentadbiran serta guru-guru dengan mengamalkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar. Pelajar mempunyai peluang sama rata memperoleh kejayaan kerana disediakan pelbagai kemudahan, biarpun Galton ( 1969 ) menyatakan faktor kandungan gen mempengaruhi kecerdasan sebanyak 50%, faktor kemahiran belajar sebanyak 30% dan faktor persekitaran dll sebanyak 15%. Salah satu kaedah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang ialah dengan memperbaiki kemahiran belajar. ( Abdul Ghani Awang, 1996:Amir Awang, 1988 )

-------------------------------------------------------------------------------------------------
BAB III
METODOLOGI KAJIAN

3.1 Rekabentuk Kajian
Kajian ini dijalankan secara tinjauan yang berbentuk korelasi. Kaedah ini bersesuaian dengan tujuan kajian untuk melihat hubungan antara modalitas belajar dan kemahiran belajar dengan pencapaian Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat. Untuk mendapatkan maklumat atau data mengenai pembolehubah yang dikaji satu soal selidik telah digunakan. Alat penyelidikan ini telah diuji kesahan dan kebolehpercayaannya terlebih dahulu dalam kajian rintis. Ini bertujuan untuk memastikan alat kajian tersebut sesuai digunakan dalam kajian ini nanti. Azizi Yahaya et all. ( 2007 ), menyatakan penyelidikan tinjauan meninjau situasi pada satu masa tertentu seolah-olah satu ‘foto-snapshot’ tentang satu peristiwa. Ia tidak dapat menerangkan kajian lanjutan kecuali pola pada satu-satu peringkat masa sahaja ( Mohd.Najib Ghaffar,1999 ). Data yang diperolehi dari set soal selidik akan ditukarkan dalam bentuk perangkaan dengan menggunakan perisian, ‘SPSS version 15.0 for Windows’( Statistical Packages for Social Sciences ). Perangkaan diproses dan dianalisis dengan tujuan untuk mendapatkan keputusan dan hasil kajian.
3.2 Lokasi Kajian
Kajian ini akan dijalankan di sekolah-sekolah menengah yang terpilih khususnya di sekitar negeri Perak. Pengkaji bercadang untuk mendapatkan maklumat daripada lima kategori sekolah menengah iaitu:
i) Sekolah Menengah Harian
ii) Sekolah Menengah Sekolah Berasrama Penuh ( SBP )
iii) Sekolah Menengah Teknik ( SMT)
iv) Sekolah Menengah Agama ( SMKA )
v) Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM )
Kelima-lima kategori sekolah menengah yang terpilih turut mengambilkira sekolah kategori bandar dan luar bandar, di samping gred sekolah (Gred A atau Gred B ).
3.3 Populasi dan Sampel
Kajian akan dijalankan di lima jenis kategori sekolah menengah. Setiap jenis kategori sekolah akan melibatkan lokasi bandar dan luar bandar serta gred sekolah. Pengkaji bercadang untuk memilih dua buah sekolah bagi setiap kategori. Responden kajian bagi setiap sekolah pula seramai 30 orang yang akan dipilih secara rawak loteri iaitu mengunakan buku kedatangan murid. Ini bermakna keseluruhan subjek kajian ialah 300 orang pelajar ( 30 orang x 2 buah sekolah x 5 kategori ). Menurut Azizi Yahya ( 2003 ), lebih besar peratusan sampel daripada populasi adalah lebih baik kerana penyelidik mempunyai lebih kemungkinan untuk memilih sampel yang mempunyai ciri-ciri populasi.

3.4 Instrumen Kajian
Penyelidik memilih soal selidik sebagai instrumen di dalam kajian ini. Soal selidik mudah ditadbir dan ringkas bagi tujuan mengawal keutuhan maklumat yang diberi olehsampel. Soal selidik juga akan membantu dan memudahkan sampel menjawab dengan cepat dan tepat. Dengan tugasan yang mudah, sampel akan lebih bertanggungjawab dan memberikan kerjasama. Soal selidik kajian ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bahagian A, B, C dan D. Bahagian A mengandungi latar belakang responden kajian ( 11 soalan ), bahagian B mengandungi soal selidik gaya pembelajaran Model Dunn dan Dunn ( 33 soalan dan 2 soalan terbuka ), bahagian C pula mengandungi soal selidik gaya VAK ( 24 soalan ) dan bahagian D mengenai kemahiran belajar ( 47 soalan dan 1 soalan terbuka). Skala empat mata akan digunakan dalam soalselidik. Data yang diperolehi dari set soal selidik akan ditukarkan dalam bentuk perangkaan dengan menggunakan perisian, ‘SPSS version 15.0 for Windows’( Statistical Packages for Social Sciences ). Korelasi Pearson pula digunakan untuk melihat hubungan antara pembolehubah.
3.5 Batasan Kajian
Kajian ini akan dijalankan di sekolah-sekolah menengah yang terpilih khususnya di sekitar negeri Perak. Pengkaji bercadang untuk mendapatkan maklumat daripada lima kategori sekolah menengah iaitu:
i) Sekolah Menengah Harian
ii) Sekolah Menengah Sekolah Berasrama Penuh ( SBP )
iii) Sekolah Menengah Teknik ( SMT )
iv) Sekolah Menengah Agama ( SMKA )
v) Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM )
Kelima-lima kategori sekolah menengah yang terpilih akan mengambilkira sekolah kategori bandar dan luar bandar, di samping gred sekolah (Gred A atau Gred B ). Bagi memantapkan hasil kajian, pelajar yang terlibat ialah pelajar di Tingkatan Empat. Borang soal selidik akan diedarkan kepada guru Bahasa Malaysia dengan kerjasama pihak sekolah dan kaunselor sekolah-sekolah yang terpilih. Dalam kajian ini, pengkaji akan menggunakan Model Dunn dan Dunn dan Model VAK serta Kemahiran Belajar yang disyorkan oleh PPK ( 2001 ).
3.6 Kajian Rintis
Penyelidik akan menjalankan satu kajian rintis bagi memperbaiki item soal selidik. Bagi tujuan ini seramai 30 orang dari kelas Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaakob, Bota akan dipilih untuk mengisi borang soal selidik ini. Penyelidik mengumpul semula borang soal selidik dan seterusnya memproses data tersebut dengan menggunakan perisian SPSS bagi menguji kebolehpercayaannya. Kebolehpercayaan diuji melalui Alpha Cronbach Coefficiency Test dan nilai kebolehpercayaan yang boleh diterima pakai.
3.7 Analisis Data
Maklumat dan keputusan dari hasil pemprosesan data bertujuan mendapatkan keputusan yang bermakna daripada data ( Mohd.Majid Konting, 1994 ). Data-data dalam Bahagian A, Bahagian B, Bahagian C dan Bahagian D akan diproses dengan menggunakan perisian komputer SPSS 15.0 for Windows ( Statistical Packages for Social Science ).Hasil daripada analisis data terhadap Bahagian A, Bahagian B, Bahagian C dan Bahagian D akan dipamerkan dalam bentuk satu jadual. Pendekatan yang digunakan dalam menganalisis data adalah pendekatan statistik deskriptif dan inferensi. Secara deskriptif, data yang diperolehi akan dibentangkan dalam bentuk jadual yang menunjukkan bentuk taburan kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawaian. Penyelidik akan menggunakan pendekatan inferensi seperti kolerasi pearson. Pendekatan inferensi digunakan untuk merumuskan dan mentafsir data dengan lebih terperinci.3.8 Kesimpulan BabKesimpulan, pengkaji telah mengenalpasti lokasi kajian, populasi dan sampel, instrumen kajian, batasan kajian, sekolah menengah untuk kajian rintis, dan analisis data yang akan dijalankan. Berdasarkan kajian-kajian lalu yang menggunakan soalselidik dan format kajian yang sama, didapati hasil kajian adalah positif dan menepati kehendak kajian.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
(Nota.Gaya penulisan tidak mengikut format. Bahan ini dipaparkan sebagai bacaan umum )
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Monday, January 5, 2009

KULIAH BM6123

Kuliah BMP 6123, Pengujian dan Penilaian pada 3 Januari 2009 oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan telah diadakan di TMU 13. Beliau telah menyampaikan beberapa butiran penting yang perlu dilalui oleh para sarjana termasuk skop kuliah bagi semester 1 sesi 2009.